Maktab Rendah Sains MARA Kubang Pasu atau MRSMKP terletak di utara semenanjung Malaysia adalah antara MRSM yang ditubuhkan hasil daripada RMK 8 dengan kos sebanyak RM38 juta di atas tanah dengan keluasan 44.312 ekar di Jalan Kampung Gelong, Jitra Kedah. Majlis Perletakan Batu Asas MRSM Kubang Pasu telah disempurnakan oleh Y.B Dato' Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 25 Jun 2005..

Maktab ini didirikan dikawasan yang tenang dan sesuai untuk iklim pembelajaran kerana terletak berhampiran dengan institusi-intitusi pengajian tinggi seperti Universiti Utara Malaysia, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), Institut Perguruan Darul Aman (IPDA), Institut Latihan dan Perindustrian (ILP) dan beberapa institut pengajian tinggi yang lain di sekitar Jitra, Kedah. Ini sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat kepada pelajar untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya berjaya melangkah ke puncak menara gading.

MRSM Kubang Pasu mula beroperasi pada 18 Disember 2006 dan pentadbiran awal diterajui oleh Pengetua, Penolong Pengetua Hal Ehwal Akademik, Penolong Pengetua Hal Ehwal Pelajar, Penolong Pegawai Tadbir Kanan dan 20 orang guru. Sehingga kini MRSM Kubang Pasu mempunyai kekuatan tenaga kerja seramai 75 orang yang terdiri daripada 45 orang guru dan 32 orang kakitangan sokongan. 

MRSM Kubang Pasu mula membuka pintu pendaftaran sulung pada 18 Mac 2007 dan seramai 119 orang pelajar tingkatan 1 dan 247 orang pelajar tingkatan 4 telah mendaftarkan diri dan seterusnya mendukung moto "Keunggulan Peribadi Kecemerlangan Prestasi" yang telah diilhamkan oleh pengetua MRSM Kubang Pasu yang pertama iaitu En. Ahmad Sanusi b. Hashim.